Susulan kejadian Operasi_Fajar_8:_Teluk_Aden

Ucapan Perdana Menteri

Selepas berita mengenai kejadian itu sampai ke Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada PASKAL atas kejayaannya menyelamatkan kapal yang disewa oleh sebuah syarikat Malaysia yang dirampas sekumpulan lanun di Laut Aden, Somalia, beliau turut berkata kerajaan sedang mengkaji daripada sudut perundangan antarabangsa berhubung tindakan sewajarnya yang akan diambil terhadap lanun-lanun yang ditahan itu. Perdana Menteri berkata:[5]

"Kita akan melihat sama ada lanun-lanun itu akan dibawa balik ke Malaysia untuk diadili atau tindakan-tindakan sewajarnya yang lain."

Menurut pegawai kanan Institut Maritim Malaysia, Nazery Khalid berkata tindakan PASKAL telah membuktikan bahawa Malaysia berkemampuan tinggi melindungi kepentingan maritim negara dan komitmennya dalam memerangi ancaman lanun. Laman rasmi International Maritime Bureau (IMB) yang berpangkalan di London berkata, sebelum mana-mana operasi dijalankan, pasukan penyelamat harus terlebih dahulu memastikan anak-anak kapal selamat sebelum menaiki kapal.[6] Pada 22 Januari, berita kejayaan ini mula untuk tersebar di akhbar-akhbar dan media antarabangsa, seperti AFP dan Reuters, memetik kejayaan ini mula tersebar ke seluruh dunia.

Perbicaraan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil alih siasatan yang melibatkan tujuh lanun Somalia yang didakwa menyerang MT Bunga Laurel di Teluk Aden pada 20 Januari. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Bin Omar berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada anak kapal serta anggota komando dari PASKAL TLDM. Kemudian, kesemua lanun yang berumur di antara 15 hingga 35 tahun, tidak mempunyai dokumen pengenalan kepada mereka. KPN juga akan meminta bantuan Jabatan Imigresen. Suspek telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk pemeriksaan perubatan selepas mereka tiba di Pelabuhan Klang pada jam 4 pagi. Mereka ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil selepas polis berjaya mendapat perintah reman selama tujuh hari. Tujuh lanun warga Somalia, termasuk tiga masih di bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret pada 11 Febuari 2011, atas tuduhan bersama merompak dengan melepaskan tembakan senjata api ke arah pasukan keselamatan Malaysia dengan niat mendatangkan kematian atau kecederaan di atas kapal MT Bunga Laurel di perairan Oman.[7] Tertuduh Ahmad Othman Jamal, 25; Abdi Eid Hasan, 20; Koore Mohamad Abdile, 18; Abdi Hakim Mohd Abdi, 18, serta tiga remaja berusia 15 tahun, Hasan Yusuf Ahmad, Kasayah Dhalin Hussien dan Mohd Abdi Ibrahim bersetuju dan memahami pertuduhan itu apabila seorang pelajar lelaki dari Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku jurubahasa khas menerangkan pertuduhan dalam bahasa Somalia di hadapan Majistret Siti Shakirah Binti Mohtarudin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 15 Mac sebagai tarikh sebutan untuk melantik jurubahasa berkelayakan dan berpengalaman. Mereka didakwa melakukan jenayah itu antara jam 8.10 hingga 10 malam, 20 Januari 2011. Kesalahan dilakukan di atas kapal Bunga Laurel berkoordinat di Latitud 20’ 14.73N Longitud 083’ 39.96E, 250 batu nautika dari perairan Oman dan dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Turut dilampirkan bersama kertas pertuduhan adalah surat perakuan ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dengan memaklumkan ia adalah kesalahan yang diperakukan berikutan tindakan tujuh warga Somalia itu memberi kesan kepada keselamatan Malaysia. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazzafree Bin Mohd Abbas memberitahu mahkamah, semua tertuduh tidak boleh menguasai Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris tetapi pihak pendakwa memanggil seorang pelajar lelaki warga Somalia dari UUM, Yaser Mohamad Ahmad untuk menterjemah. Penahanan mereka di sini selepas menyelamatkan kapal dan mereka dibicarakan, Malaysia telah mengikuti jejak langkah pihak Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat yang telah membicarakan lanun warga asing yang menyerang kapal mereka di perairan antarabangsa.[8] Mohd Abazzafree turut memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebelum Siti Shakirah memutuskan seorang jurubahasa berkelayakan dipanggil pada tarikh sebutan selepas meminta Yaser membaca dan menerangkan pertuduhan tanpa direkodkan pengakuan daripada tertuduh. Semua lanun Somalia berkenaan yang bertubuh kurus dan tinggi kelihatan tenang dan hanya mengangguk selepas Yaser menterjemahkan pertuduhan terhadap mereka. Susulan itu, tujuh lanun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 6 Februari lalu sebelum tempoh itu dilanjutkan sehingga hari ini. Tetapi menurut pendakwa raya, tiga suspek yang berusia 15 tahun tidak akan menghadapi hukuman mati kerana mereka terlalu muda.[9]

Rujukan

WikiPedia: Operasi_Fajar_8:_Teluk_Aden http://www.bangkokpost.com/breakingnews/217613/mal... http://maritime.bernama.com/news.php?id=567271&lan... http://www.hindustantimes.com/Somali-pirates-face-... http://www.usatoday.com/news/world/2011-02-11-mala... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/... http://militaryofmalaysia.net/2011/01/paskal-tawan... http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-pacific-12430...